6 Catatlah keadaan tujuh kawasan tanah itu, lalu berikannya kepadaku. Aku akan membuang undi untuk mengetahui bahagian mana yang diperuntukkan TUHAN, Allah kita bagi setiap suku.
7 Tetapi suku Lewi tidak akan mendapat bahagian tanah bersama-sama kamu, kerana bahagian mereka adalah mengabdi kepada TUHAN sebagai imam. Suku Gad, Ruben, dan Manasye Timur sudah mendapat tanah di sebelah timur Sungai Yordan, yang diberikan Musa, hamba TUHAN, kepada mereka.”
8 Semua orang yang dipilih itu pergi untuk mencatat keadaan tanah itu sesudah Yosua berpesan kepada mereka, “Pergilah tinjau seluruh tanah ini dan catatlah batas-batasnya, lalu kembalilah kepadaku. Kemudian aku akan membuang undi di Silo, untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi kamu.”
9 Kemudian semua orang yang dipilih itu menjelajahi seluruh tanah. Mereka mencatat cara pembahagian tujuh bahagian itu, dan juga membuat senarai kota-kota di situ. Selepas itu mereka kembali kepada Yosua di perkhemahan di Silo.
10 Yosua membuang undi untuk mengetahui kehendak TUHAN bagi mereka, lalu memberikan sebahagian tanah kepada setiap suku Israel yang belum mendapat bahagian tanah.
11 Keluarga-keluarga dalam suku Benyamin ialah suku yang pertama menerima bahagian tanah. Tanah mereka terletak di antara tanah suku Yehuda dan tanah suku Yusuf.
12 Di utara, sempadan wilayah mereka bermula dari Sungai Yordan, lalu naik ke lereng di sebelah utara Yerikho, lalu ke barat melalui kawasan perbukitan sampai ke padang gurun Bet-Awen.