16 Bagi pihak semua umat TUHAN, mereka berkata, “Mengapakah kamu melakukan perbuatan yang jahat ini terhadap Allah Israel? Dengan membina mazbah itu, kamu telah memberontak terhadap TUHAN! Kamu tidak lagi mengikut Dia!
17 Ingatlah akan dosa kita di Peor, ketika TUHAN menghukum umat-Nya dengan wabak. Kita masih menderita akibat dosa itu. Belum cukupkah dosa itu?
18 Adakah kamu hendak meninggalkan TUHAN sekarang? Jika hari ini kamu memberontak terhadap-Nya, esok Dia akan murka terhadap tiap-tiap orang Israel.
19 Oleh itu, jika wilayah kamu najis dan tidak layak untuk dijadikan tempat ibadat kepada TUHAN, datanglah ke negeri TUHAN, tempat letaknya Khemah TUHAN. Mintalah tanah daripada kami, tetapi jangan berontak terhadap TUHAN ataupun kami dengan membina sebuah mazbah lagi selain mazbah TUHAN, Allah kita yang sudah didirikan.
20 Ingatlah bagaimana Akhan anak Zerah melanggar perintah tentang barang-barang yang mesti dimusnahkan. Akibatnya, seluruh masyarakat Israel dihukum; bukan Akhan seorang saja yang mati kerana dosanya.”
21 Orang daripada suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur menjawab,
22 “Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Dia tahu mengapa kami berbuat demikian dan kami hendak kamu tahu juga! Jika kami memberontak terhadap TUHAN dan tidak percaya kepada-Nya, bunuhlah kami sekarang juga!