Yosua 22:24-30 BM

24 Maksud kami bukanlah demikian! Kami membina mazbah ini kerana kami khuatir mungkin pada kemudian hari keturunan kamu akan berkata kepada keturunan kami, ‘Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN, Allah Israel!

25 TUHAN telah menjadikan Sungai Yordan ini sebagai sempadan antara kami dan kamu daripada suku Ruben dan Gad. Kamu tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.’ Dengan demikian keturunan kamu akan menyebabkan keturunan kami berhenti beribadat kepada TUHAN.

26 Oleh itu kami membina mazbah ini bukan sebagai tempat membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan,

27 tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita dan keturunan kita, bahawa sesungguhnya kami beribadat kepada TUHAN di Khemah-Nya dengan membawa korban untuk menyenangkan hati TUHAN, persembahan-persembahan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Dengan demikian keturunan kamu tidak dapat berkata bahawa keturunan kami tidak ada kena-mengena dengan TUHAN.

28 Maksud kami begini: jika perkara itu berlaku, dapatlah keturunan kami berkata, ‘Lihatlah, nenek moyang kami telah membina sebuah mazbah sama seperti mazbah TUHAN. Mazbah itu bukan untuk membakar korban ataupun untuk mempersembahkan persembahan, tetapi sebagai tanda bagi kedua-dua pihak kita.’

29 Kami tidak sekali-kali akan memberontak terhadap TUHAN atau berhenti mengabdi kepada-Nya, dengan membina mazbah sebagai tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun mempersembahkan korban untuk mengucap syukur, atau persembahan. Kami tidak sekali-kali akan membina mazbah lain; mazbah TUHAN, Allah kita sudah ada di hadapan Khemah-Nya.”

30 Imam Pinehas dan sepuluh orang pemimpin umat Israel, ketua-ketua keluarga Israel yang menyertai Pinehas, mendengar penjelasan suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur. Mereka puas hati mendengarnya.