31 Pinehas anak Imam Eleazar berkata kepada mereka, “Sekarang kami tahu bahawa TUHAN menyertai kita. Kamu tidak memberontak terhadap-Nya. Kamu telah menyelamatkan umat Israel daripada hukuman TUHAN.”
32 Kemudian Pinehas dan para pemimpin itu meninggalkan suku Ruben dan Gad di daerah Gilead, lalu mereka pulang ke Kanaan dan melaporkan perkara itu kepada umat Israel.
33 Umat Israel puas hati dan memuji Allah. Mereka tidak lagi bercadang untuk berperang melawan suku Ruben dan Gad, ataupun memusnahkan wilayah mereka.
34 Orang daripada suku Ruben dan Gad berkata, “Mazbah ini menjadi saksi kepada kita semua bahawa TUHAN ialah Allah.” Oleh itu mereka menamakan mazbah itu “Saksi”.