Yosua 24:11-17 BM

11 Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua.

12 Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang.

13 Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ”

14 “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja.

15 Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”

16 Umat Israel menjawab, “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan TUHAN untuk mengabdi kepada tuhan-tuhan lain!

17 TUHAN, Allah kita telah melepaskan nenek moyang kita dan kita sendiri daripada perhambaan di Mesir, dan kita telah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Dia telah melindungi kita dalam semua perjalanan kita melalui negeri-negeri asing.