27 Yosua berkata kepada semua orang itu, “Batu ini saksi kita. Batu ini telah mendengar segala firman TUHAN kepada kita. Oleh itu batu ini menjadi saksi terhadap kamu untuk mengingatkan kamu supaya tidak melawan Allah kamu.”
28 Selepas itu Yosua menyuruh umat itu pulang, lalu masing-masing balik ke wilayah sendiri.
29 Kemudian Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal; dia berumur 110 tahun.
30 Yosua dikebumikan di tanahnya di Timnat-Serah, di perbukitan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.
31 Selama Yosua hidup, umat Israel mengabdi kepada TUHAN. Setelah Yosua meninggal dan selama hayat para pemimpin yang melihat segala perbuatan TUHAN untuk Israel, umat itu tetap mengabdi kepada TUHAN.
32 Jenazah Yusuf yang dibawa oleh umat Israel dari Mesir, dikebumikan di Sikhem, di tanah yang dibeli oleh Yakub daripada anak-anak Hemor, bapa Sikhem, dengan harga seratus keping wang perak. Tanah itu diwarisi oleh keturunan Yusuf.
33 Eleazar anak Harun meninggal, lalu dikebumikan di Gibea, kota di perbukitan Efraim yang telah diberikan kepada anaknya, Pinehas.