9 Selepas itu, penguasa Moab, Raja Balak anak Zipor, berperang melawan Israel. Raja Balak mengutus orang kepada Bileam anak Beor dan meminta dia mengutuk kamu.
10 Tetapi Aku tidak mengabulkan permintaan Bileam. Sebaliknya, dia memberkati kamu; Aku menyelamatkan kamu daripada Raja Balak.
11 Kamu menyeberang Sungai Yordan dan tiba di kota Yerikho. Penduduk Yerikho berperang melawan kamu; demikian juga orang Amori, Feris, Kanaan, Het, Girgasi, Hewi, dan Yebusi. Tetapi Aku memberi kamu kemenangan atas mereka semua.
12 Apabila kamu menyerang mereka, Aku mengacau-bilaukan mereka untuk mengusir dua orang raja Amori itu. Pedang dan panah kamu tidak menyebabkan kamu menang.
13 Aku memberi kamu negeri yang tidak kamu usahakan dan kota-kota yang tidak kamu bina. Sekarang kamu tinggal di negeri itu dan makan buah anggur dan zaitun dari pokok-pokok yang tidak kamu tanam.’ ”
14 “Oleh itu,” kata Yosua, “hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja.
15 Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesopotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”