3 Yosua menurut perintah TUHAN lalu menyunatkan orang Israel di tempat yang dinamakan Bukit Sunat.
4-6 Apabila umat Israel meninggalkan Mesir, semua orang lelaki mereka memang telah disunat. Tetapi selama empat puluh tahun perjalanan mereka di gurun, tiada seorang pun anak lelaki mereka disunat. Pada akhir masa empat puluh tahun itu, semua lelaki Israel yang cukup umur untuk berperang ketika mereka meninggalkan Mesir, telah meninggal kerana mereka tidak mentaati TUHAN. TUHAN telah bersumpah bahawa mereka tidak akan dibenarkan melihat tanah yang makmur dan subur, yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka.
7 Anak-anak lelaki semua orang itu belum disunat. Generasi baru itulah yang disunat oleh Yosua.
8 Setelah disunat, mereka semua tinggal di perkhemahan sehingga mereka sembuh.
9 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku telah menghapuskan kehinaan kamu kerana menjadi hamba di Mesir.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Gilgal sampai pada hari ini.
10 Ketika umat Israel berkhemah di Gilgal di dataran berhampiran dengan kota Yerikho, mereka merayakan Paska pada waktu senja, pada hari keempat belas bulan itu.
11 Esok harinya, untuk kali pertama mereka makan hasil tanaman di Kanaan: biji-bijian yang dipanggang dan roti tanpa ragi.