15 Pada hari ketujuh, mereka bangun ketika fajar. Mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali dengan cara yang sama. Hanya pada hari itu, mereka berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali.
16 Pada kali ketujuh, apabila imam-imam itu hendak meniup trompet, Yosua memerintahkan orangnya berteriak, dan dia berkata, “TUHAN sudah menyerahkan kota ini kepada kamu!
17 Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita.
18 Kamu tidak boleh mengambil apa pun yang mesti dimusnahkan. Jika kamu mengambilnya juga, kamu akan mendatangkan kesusahan dan kebinasaan kepada perkhemahan Israel.
19 Segala benda yang dibuat daripada perak, emas, gangsa, atau besi harus diasingkan untuk TUHAN. Barang-barang itu harus dibawa ke perbendaharaan TUHAN.”
20 Lalu imam-imam meniup trompet. Sebaik sahaja askar-askar mendengarnya, mereka berteriak dengan kuat, dan tembok kota Yerikho pun roboh. Kemudian seluruh angkatan tentera terus naik ke kota itu, lalu menyerang dan merebutnya.
21 Dengan pedang, mereka membunuh tiap-tiap orang di dalam kota itu, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua. Mereka juga membunuh lembu, domba, dan keldai.