2 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Aku menyerahkan Yerikho dengan rajanya dan semua askarnya yang perkasa kepadamu.
3 Engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sekali sehari selama enam hari.
4 Tujuh orang imam yang masing-masing membawa sebuah trompet harus berjalan di hadapan Tabut Perjanjian. Pada hari ketujuh, engkau dan askar-askarmu harus berarak mengelilingi kota itu sebanyak tujuh kali, sementara imam-imam meniup trompet.
5 Selepas itu mereka harus meniup trompet dengan bunyi yang panjang, dan sebaik sahaja kamu mendengarnya, semua orang harus berteriak dengan kuat, lalu tembok kota itu akan roboh. Pada saat itu seluruh tenteramu harus terus memasuki kota itu.”
6 Yosua memanggil imam-imam dan berkata kepada mereka, “Gotonglah Tabut Perjanjian, dan tujuh orang antara kamu harus berjalan di hadapannya dengan membawa trompet.”
7 Kemudian Yosua memberikan arahan kepada askar-askarnya supaya berarak mengelilingi kota itu, didahului oleh barisan pengawal depan yang berjalan di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN.
8-9 Sebagaimana yang diperintahkan Yosua, pengawal depan berjalan di hadapan imam-imam yang meniup trompet, diikuti oleh para imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN; kemudian diakhiri oleh barisan pengawal belakang. Sepanjang masa itu trompet dibunyikan.