1 Firman TUHAN yang melarang orang Israel mengambil apa-apa pun dari kota Yerikho yang sepatutnya dimusnahkan, tidak dipatuhi. Seorang yang bernama Akhan anak Karmi melanggar perintah itu. Oleh itu TUHAN murka kepada umat Israel. (Akhan anak Karmi dan cucu Zabdi; dia daripada puak Zerah, sebahagian daripada suku Yehuda.)
2 Yosua mengirim beberapa orang dari Yerikho ke Ai, sebuah kota di sebelah timur Betel, dekat Bet-Awen. Yosua menyuruh mereka menjelajahi negeri itu. Setelah mereka berbuat demikian,
3 mereka memberikan laporan kepada Yosua, “Tidak perlu semua orang pergi menyerang kota itu. Kirimlah dua atau tiga ribu orang sahaja. Tidak perlu seluruh angkatan tentera pergi ke sana untuk berperang kerana kota Ai bukan kota yang besar.”
4 Oleh itu hanya kira-kira tiga ribu orang Israel menyerang kota itu, tetapi mereka dipukul mundur.