Yosua 7:11-17 BM

11 Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri.

12 Itulah sebabnya orang Israel tidak dapat melawan musuh. Mereka terpaksa mundur kerana mereka sendiri telah dijatuhi hukuman untuk dibinasakan. Aku tidak akan menyertai kamu lagi kecuali kamu memusnahkan barang-barang yang tidak sepatutnya kamu simpan.

13 Bangunlah! Sucikanlah umat dan suruhlah mereka bersedia menghadap Aku. Suruhlah mereka bersedia menghadap Aku esok kerana Aku, TUHAN dan Allah umat Israel berfirman, ‘Hai orang Israel, ada pada kamu sebahagian barang yang sepatutnya dimusnahkan menurut perintah-Ku. Kamu tidak dapat mengalahkan musuh sebelum kamu membuang barang-barang itu.’

14 Oleh itu beritahulah mereka bahawa pada pagi esok mereka akan dihadapkan kepada-Ku, suku demi suku. Suku yang Aku tunjuk akan tampil, puak demi puak. Puak yang Aku tunjuk akan tampil, keluarga demi keluarga. Keluarga yang Aku tunjuk akan tampil, seorang demi seorang.

15 Orang yang didapati menyimpan barang-barang terlarang itu akan dibakar, bersama-sama keluarganya dan segala miliknya kerana dia telah mempermalukan Israel dan melanggar perjanjian-Ku.”

16 Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan menghadapkan orang Israel kepada TUHAN, suku demi suku, lalu suku Yehuda yang ditunjuk.

17 Yosua menghadapkan suku Yehuda, puak demi puak, lalu puak Zerah yang ditunjuk. Kemudian dia menghadapkan puak Zerah, keluarga demi keluarga, lalu keluarga Zabdi yang ditunjuk.