3 mereka memberikan laporan kepada Yosua, “Tidak perlu semua orang pergi menyerang kota itu. Kirimlah dua atau tiga ribu orang sahaja. Tidak perlu seluruh angkatan tentera pergi ke sana untuk berperang kerana kota Ai bukan kota yang besar.”
4 Oleh itu hanya kira-kira tiga ribu orang Israel menyerang kota itu, tetapi mereka dipukul mundur.
5 Orang Ai mengejar mereka dari pintu gerbang kota itu hingga ke kawasan kuari, lalu membunuh kira-kira tiga puluh enam orang Israel di lereng bukit. Oleh itu orang Israel hilang semangat dan menjadi takut.
6 Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka.
7 Yosua berkata. “Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu?
8 Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh?
9 Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?”