5 Orang Ai mengejar mereka dari pintu gerbang kota itu hingga ke kawasan kuari, lalu membunuh kira-kira tiga puluh enam orang Israel di lereng bukit. Oleh itu orang Israel hilang semangat dan menjadi takut.
6 Yosua dan para pemimpin Israel mengoyak-ngoyakkan pakaian kerana dukacita, lalu sujud di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN sehingga senja. Mereka juga menghamburkan debu di atas kepala untuk menunjukkan kesedihan mereka.
7 Yosua berkata. “Ya TUHAN Raja, mengapakah Engkau membawa kami menyeberang Sungai Yordan? Adakah Engkau hendak menyerahkan kami kepada orang Amori supaya dibinasakan oleh mereka? Mengapakah Engkau tidak membiarkan kami tinggal saja di seberang sungai itu?
8 Ya Tuhan, apakah yang dapat aku katakan sekarang, setelah orang Israel dipukul mundur oleh musuh?
9 Orang Kanaan dan semua orang di negeri ini akan mendengar tentang hal itu. Mereka akan mengepung kami lalu membunuh kami semua! Kemudian apakah yang akan Engkau buat untuk mempertahankan kehormatan-Mu?”
10 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bangunlah! Mengapakah engkau sujud demikian?
11 Umat Israel telah berdosa! Mereka melanggar perjanjian yang Aku suruh mereka pegang. Mereka telah mengambil sebahagian daripada barang-barang yang sepatutnya dimusnahkan. Mereka mencuri barang-barang itu lalu berdusta pula. Mereka menyimpannya bersama dengan barang-barang mereka sendiri.