1 TUHAN berfirman kepada Yosua, “Bawalah semua askar dan pergilah ke kota Ai. Janganlah takut ataupun tawar hati. Aku akan memberi kamu kemenangan atas raja Ai; rakyat, kota, dan tanahnya akan menjadi milik kamu.
2 Perlakukanlah kota Ai dan rajanya sebagaimana kamu memperlakukan kota Yerikho dan rajanya, tetapi kali ini kamu boleh mengambil harta benda dan ternakannya untuk diri kamu sendiri. Bersiaplah untuk menyerang kota itu secara mengejut dari belakang.”
3 Oleh itu Yosua dan semua askarnya bersiap untuk pergi ke kota Ai. Yosua memilih 30,000 orang daripada askarnya yang terbaik dan menyuruh mereka berangkat pada waktu malam.
4 Yosua memberi mereka arahan, “Bersembunyilah di belakang kota itu, tetapi jangan terlalu jauh. Bersiaplah untuk menyerangnya.
5 Aku dan anak buahku akan menghampiri kota itu. Apabila orang Ai keluar untuk menyerang kami, kami akan berbalik dan lari seperti yang kita lakukan pada kali yang pertama.
6 Mereka akan mengejar kami sehingga jauh dari kota. Mereka akan menyangka bahawa kami melarikan diri daripada mereka seperti yang kita lakukan dahulu.
7 Pada masa itu kamu harus keluar dari persembunyian dan merebut kota itu. TUHAN, Allah kamu akan memberikan kota itu kepada kamu.