9 Kemudian Yosua menyuruh mereka berangkat; mereka pergi ke tempat persembunyian dan menunggu di situ. Tempat itu terletak di sebelah barat Ai, di antara Ai dan Betel. Yosua bermalam di perkhemahan.
10 Keesokan harinya, Yosua bangun pagi-pagi dan memanggil askar-askar berkumpul. Kemudian Yosua dan para pemimpin umat Israel memimpin pasukan askar itu ke kota Ai.
11 Askar-askar yang bersama dengan Yosua menuju ke pintu gerbang kota dan berkhemah di sebelah utara; ada lembah di antara mereka dan kota Ai.
12 Yosua membawa kira-kira 5,000 orang dan menyuruh mereka bersembunyi di sebelah barat kota itu, di antara Ai dan Betel.
13 Tentera itu diarah bertempur mengikut susunan berikut: pasukan utama berada di sebelah utara kota dan yang selebihnya di sebelah barat. Yosua sendiri bermalam di lembah itu.
14 Ketika raja kota Ai nampak askar-askar Yosua, raja bertindak dengan segera. Raja dan semua anak buahnya berangkat ke arah Lembah Yordan untuk berperang dengan tentera Israel di tempat pertempuran dahulu. Raja tidak tahu bahawa baginda akan diserbu dari belakang.
15 Yosua dan anak buahnya berpura-pura berundur dan lari ke arah kawasan tanah gersang.