Yunus 1:1-8 BM

1 Pada suatu hari, TUHAN berfirman kepada Yunus anak Amitai.

2 Dia berfirman, “Pergilah ke Niniwe, kota besar itu, dan kecamlah penduduknya. Aku tahu bahawa penduduknya sangat jahat.”

3 Tetapi Yunus pergi ke arah lain untuk menjauhi TUHAN. Yunus pergi ke Yope, dan mendapati kapal yang akan belayar ke Sepanyol. Setelah membayar wang tambang, Yunus naik kapal; dia belayar bersama dengan anak-anak kapal ke Sepanyol, supaya dia dapat menjauhkan diri daripada TUHAN.

4-5 Yunus turun ke tempat yang paling bawah dan berbaring di situ, lalu dia tertidur dengan nyenyak.Kemudian TUHAN mendatangkan angin kencang ke laut, lalu terjadilah angin ribut yang dahsyat, yang memukul kapal itu sehingga hampir hancur. Anak-anak kapal sangat takut dan berteriak-teriak minta tolong, masing-masing kepada dewa mereka sendiri. Mereka membuang muatan kapal itu ke dalam laut untuk mengurangi bahaya.

6 Apabila kapten kapal itu turun ke bawah, dia menjumpai Yunus sedang tidur di situ. Kapten itu berkata, “Bagaimana engkau dapat tidur dalam keadaan begini? Bangunlah! Berdoalah minta tolong kepada dewamu. Mungkin dia akan mengasihani kita, dan kita tidak akan binasa.”

7 Setelah Yunus dan kapten kapal itu naik ke atas, para anak kapal berkata sesama sendiri, “Marilah kita buang undi supaya kita tahu siapa yang bersalah, sehingga kita ditimpa bencana ini!” Mereka membuang undi, lalu Yunus yang kena undi.

8 Mereka berkata kepada Yunus, “Betulkah engkau yang menyebabkan bencana ini? Engkau dari mana dan bangsa apa? Mengapa engkau berada di sini?”