1 Sungguh benar kata-kata ini, “Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.”
2 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang,
3 dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang.
4 Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia.
5 Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah?
6 Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu.
7 Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis.
8 Penolong jemaah mestilah juga orang yang baik sifatnya dan tulus. Mereka tidak boleh minum terlalu banyak wain atau tamak akan wang.
9 Dengan hati nurani yang murni, mereka mesti berpegang kepada ajaran iman Kristian yang sudah dinyatakan oleh Allah.
10 Mereka harus diuji dahulu dan jika terbukti mereka tidak bercela, barulah mereka boleh membantu.
11 Isteri mereka pun mestilah orang yang baik sifatnya. Mereka tidak boleh mengumpat; mereka haruslah tahu mengawal diri dan jujur dalam segala perkara.
12 Seorang penolong jemaah mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Dia mesti tahu mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya dengan baik.
13 Pembantu jemaah yang menjalankan tugas dengan baik akan dihormati, dan mereka dapat bercakap dengan kewibawaan tentang kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus.
14 Semasa aku menulis surat ini kepadamu, aku berharap dapat segera pergi melawat engkau.
15 Tetapi jika aku terlambat, surat ini akan memberitahu engkau bagaimana kita harus hidup sebagai orang Kristian. Kita anggota keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup. Jemaah inilah tiang dan penunjang ajaran yang benar tentang Allah.
16 Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita:Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia,dan dinyatakan benar oleh Roh Allah,serta dilihat oleh para malaikat.Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa,dan Dia dipercayai di seluruh dunia,dan telah diangkat ke syurga.