7 Sampaikanlah petunjuk-petunjuk ini kepada mereka, supaya jangan sesiapa pun dapat mencela mereka.
8 Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman.
9 Seorang balu yang memenuhi syarat-syarat berikut ini boleh digolongkan ke dalam senarai balu: umurnya harus lebih daripada enam puluh tahun, hanya berkahwin sekali,
10 dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik.
11 Jangan golongkan balu muda ke dalam senarai itu. Jika perasaan berahi mereka timbul, mereka ingin berkahwin lagi. Dengan demikian mereka meninggalkan Kristus,
12 lalu bersalah kerana memungkiri janji mereka kepada Kristus.
13 Selain daripada itu mereka suka membuang masa dengan keluar masuk rumah orang. Tetapi yang lebih buruk lagi, mereka mengumpat dan turut campur urusan orang lain serta mempercakapkan perkara-perkara yang tidak seharusnya dikatakan.