1 Alangkah malangnya kamu yang hidup bersenang-senang di Sion, dan kamu yang berasa aman di Samaria. Kamulah orang kenamaan daripada Israel, bangsa yang agung; kamulah yang didatangi rakyat untuk meminta pertolongan.
2 Tetapi sekarang pergilah melihat kota Kalne. Berjalanlah terus ke kota Hamat yang besar, kemudian ke kota Gat di Filistin. Adakah kamu menyangka bahawa kota-kota itu lebih baik daripada kerajaan Yehuda dan Israel? Adakah wilayah mereka lebih besar daripada wilayah kamu?
3 Kamu tidak mahu mengakui bahawa hari malapetaka sudah hampir, tetapi perbuatan kamu hanya mempercepatkan ketibaan hari yang dahsyat itu.
4 Alangkah malangnya kamu yang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah, dan berpesta dengan makan daging anak lembu dan anak domba!
5 Kamu suka menggubah lagu seperti yang dilakukan oleh Daud, dan kamu memainkan lagu itu pada kecapi.
6 Kamu minum wain dari mangkuk yang diisi penuh, dan kamu menggunakan minyak wangi yang terbaik, tetapi kamu tidak meratapi kejatuhan Israel.
7 Oleh itu kamulah yang akan pertama-tama dibuang negeri. Pesta dan jamuan kamu akan berakhir.
8 Dengan tegas TUHAN Raja Yang Maha Kuasa sudah memberikan amaran ini, “Aku benci akan keangkuhan umat Israel; Aku sangat benci akan rumah mewah mereka. Ibu kota mereka dan semua yang ada di situ akan Kuserahkan kepada musuh.”
9 Apabila ada sepuluh orang yang tinggal di dalam sebuah rumah, mereka akan mati juga.
10 Seorang sanak itu, yang bertanggungjawab mengurus penguburan orang yang sudah meninggal, akan datang untuk membawa keluar jenazah saudaranya. Dia akan berseru kepada orang yang berada di dalam rumah itu, “Adakah sesiapa yang masih hidup selain kamu?”Jawapan akan terdengar, “Tiada!”Kemudian sanak itu akan berkata, “Jangan bercakap lagi! Kita tidak boleh menyebut nama TUHAN.”
11 Apabila TUHAN memberikan perintah, rumah besar dan rumah kecil akan dimusnahkan.
12 Adakah kuda berlari di bukit batu? Adakah orang membajak lautan dengan lembu? Tetapi kamu sudah memutarbalikkan keadilan sehingga menjadi racun, dan perkara yang benar menjadi salah.
13 Kamu bercakap besar kerana kamu sudah mengalahkan kota Lodebar. Dengan angkuh kamu berkata, “Kami cukup kuat untuk merebut kota Karnaim.”
14 TUHAN Allah Yang Maha Kuasa berfirman, “Umat Israel, Aku akan mengirim tentera suatu bangsa asing untuk menaklukkan negeri kamu. Mereka akan menindas kamu, dari Genting Hamat di utara sampai ke Lembah Araba di selatan.”