7 Aku mendapat suatu penglihatan lain daripada Tuhan. Aku nampak Dia berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting, dan Dia memegang seutas tali unting.
8 Dia bertanya kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?”Aku menjawab, “Seutas tali unting.”Kemudian Dia berfirman, “Aku menggunakan tali unting ini untuk menunjukkan bahawa umat-Ku seperti tembok yang tidak tegak. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka.
9 Tempat-tempat yang digunakan oleh keturunan Ishak untuk beribadat akan dihancurkan. Tempat-tempat suci orang Israel akan menjadi reruntuhan. Aku akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam.”
10 Amazia, imam di Betel, mengirim laporan ini kepada Raja Yerobeam dari Israel, “Amos sedang berpakat dengan rakyat untuk melawan tuanku. Kata-katanya yang menghasut rakyat akan menyebabkan negeri ini hancur.
11 Dia berkata, ‘Yerobeam akan terbunuh dalam pertempuran, dan orang Israel akan dibawa ke pembuangan, jauh dari negeri mereka sendiri.’ ”
12 Kemudian Amazia berkata kepada Amos, “Hai nabi, pulanglah ke Yehuda! Bernubuatlah di sana. Biarlah mereka yang memberikan nafkah kepadamu!
13 Jangan lagi bernubuat di sini, di Betel. Kota ini khas untuk raja beribadat, iaitu tempat ibadat negara.”