Barukh 4 BMDC

1 Kebijaksanaan ialah kitab perintah-perintah Allah, Taurat Musa yang tetap untuk selama-lamanya. Semua orang yang berpegang padanya akan hidup, tetapi orang yang meninggalkannya akan mati.

2 Hai Israel, berbaliklah dan peganglah kebijaksanaan itu dengan teguh. Berjalanlah menuju pancaran cahayanya.

3 Jangan serahkan keagungan dan kemujuran kamu kepada bangsa asing.

4 Sungguh berbahagialah kita orang Israel, kerana kita tahu akan apa yang berkenan kepada Tuhan Allah.

Ketenteraman bagi Yerusalem

5 Kuatkanlah hatimu, hai bangsaku yang mengabadikan nama Israel.

6 Kamu sudah dijual kepada bangsa-bangsa asing, tetapi tidak akan dibinasakan. Kamu telah membuat Allah murka, sehingga diserahkan kepada musuh-musuh kamu.

7 Kamu telah membangkitkan kemurkaan Pencipta kamu dengan mempersembahkan korban kepada syaitan dan bukan kepada Allah.

8 Kamu melupakan Allah yang kekal, yang mengasuh kamu sejak kecil dan kamu mendukakan Yerusalem yang menjadi seperti ibu kepada kamu.

9 Yerusalem melihat kamu ditimpa kemurkaan Allah, maka Yerusalem berkata kepada jiran-jirannya, “Lihatlah kesedihan besar yang ditimpakan Allah kepadaku!

10 Aku melihat anak-anakku ditawan, sebagaimana yang didatangkan Allah yang kekal kepada mereka.

11 Mereka telah kuasuh dengan sukacita; sekarang aku berdukacita dan menangis melihat mereka dibawa pergi.

12 Janganlah sesiapa pun bergembira kerana aku; aku ini balu yang kehilangan banyak anak. Aku ditinggalkan seorang diri kerana anak-anakku telah berdosa, oleh sebab mereka meninggalkan Taurat Allah.

13 Mereka tidak mengendahkan peraturan-peraturan-Nya, tidak menjalankan perintah-perintah-Nya dan tidak mengikut jalan kebenaran yang dikehendaki Tuhan.

14 Marilah, hai jiran-jiranku, ingatlah akan anak-anakku yang tertawan, sebagaimana didatangkan Allah yang kekal kepada mereka.

15 Allah telah mengirim suatu bangsa dari jauh kepada mereka, bangsa biadab yang berbahasa asing. Mereka tidak menghormati orang tua dan tidak pula mengasihani kanak-kanak.

16 Bangsa itu telah membawa anak-anak kesayanganku pergi, dan aku, si balu, ditinggalkan sendirian.

17 Hai anak-anakku, aku tidak berdaya menolong kamu.

18 Hanya Dia yang mendatangkan bencana itu terhadap kamu, akan menyelamatkan kamu daripada musuh-musuh kamu.

19 Pergilah saja, hai anak-anakku, pergilah! Aku tertinggal sendirian dan kesepian.

20 Pakaian yang kukenakan pada masa damai sudah kulepaskan dan kuganti dengan kain guni tanda merendahkan diri. Selama hidupku aku akan menjerit meminta pertolongan Allah yang kekal.

21 Kuatkanlah hatimu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia pasti akan menyelamatkan kamu daripada kekuasaan dan penindasan musuh.

22 Aku yakin Allah yang kekal segera akan membebaskan kamu. Yang Suci iaitu Penyelamat yang kekal akan menggembirakan aku apabila Dia menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu.

23 Ketika kamu dibawa pergi, aku bersedih dan menangis. Tetapi Allah akan membawa kamu pulang kepadaku dan menggembirakan aku untuk selama-lamanya.

24 Seperti mana jiran-jiran telah melihat kamu ditawan, begitu juga mereka segera akan melihat kamu diselamatkan oleh Allah yang kekal, yang datang kepada kamu dengan keagungan dan semarak yang besar.

25 Hai anak-anakku, hendaklah kamu sabar menanggung hukuman Allah. Sekarang kamu dikejar-kejar musuh, tetapi kamu segera akan melihat mereka dibinasakan dan takluk kepada kamu.

26 Anak-anakku yang tersayang, kamu harus menempuh jalan yang tidak rata dan digiring pergi seperti kawanan domba yang dirampas musuh.

27 Kuatkanlah hati kamu, hai anak-anakku, berserulah kepada Allah. Dia yang mengirimkan bencana itu akan ingat lagi kepada kamu.

28 Seperti kamu bertekad meninggalkan Allah dahulu, begitu hendaknya kamu sekarang kembali mengabdi kepada-Nya dengan sepuluh kali lebih rajin.

29 Dia yang mengirim segala bencana itu kepada kamu akan menyelamatkan kamu dan memberi kamu kebahagiaan yang kekal.”

Yerusalem Pasti akan Ditolong

30 Kuatkanlah hatimu, hai Yerusalem! Dia yang telah memberi nama kepadamu akan menghibur engkau.

31 Malanglah mereka yang telah menganiaya engkau dan bersukaria kerana kehancuranmu.

32 Malanglah kota-kota yang memperhamba anak-anakmu. Malanglah kota Babel tempat anak-anakmu ditawan.

33 Seperti mana kota itu bersukaria kerana kehancuranmu, begitu pula kota itu akan berdukacita kerana kehancurannya sendiri.

34 Aku akan merampas rakyat kebanggaannya yang banyak jumlahnya, dan mengubah bualannya yang bongkak menjadi ratapan.

35 Aku, Allah yang kekal akan mendatangkan api ke atasnya, api yang menyala berhari-hari lamanya. Reruntuhannya akan didiami syaitan untuk masa yang lama.

36 Tengoklah ke timur, hai Yerusalem, dan lihatlah kegembiraan yang didatangkan Allah bagimu.

37 Lihatlah anak-anakmu datang kepadamu, anak-anak yang sudah kaubiarkan pergi. Mereka telah dikumpulkan dari timur dan dari barat atas perintah Allah yang suci. Sekarang mereka pulang sambil bersukaria kerana keagungan Allah.

Bab

1 2 3 4 5