12 Tetapi apabila sida-sida itu menyampaikan perintah raja, Permaisuri Wasti tidak mahu datang. Perbuatannya itu menyebabkan raja sangat murka.
13 Raja mempunyai kebiasaan untuk minta pendapat orang arif tentang persoalan undang-undang dan adat. Oleh itu raja memanggil para penasihatnya untuk bertanya apa yang harus dilakukan dalam perkara seperti itu.
14 Para penasihat raja yang paling sering dipanggil ialah Karsena, Setar, Admata, Tarsis, Meres, Marsena, dan Memukan. Mereka pegawai Persia dan Media yang memangku kedudukan paling tinggi dalam kerajaan itu.
15 Raja bertitah kepada tujuh orang penasihat itu, “Beta sudah mengutus pelayan kepada Permaisuri Wasti dengan perintah supaya permaisuri datang kepada beta, tetapi permaisuri enggan. Menurut undang-undang, tindakan apakah yang harus kita ambil terhadapnya?”
16 Memukan berkata kepada raja dan para pembesar, “Permaisuri Wasti bukan sahaja sudah menghina tuanku, tetapi juga para pegawai tuanku, bahkan semua orang lelaki di dalam kerajaan!
17 Kerana sebaik sahaja kaum wanita mendengar perbuatan permaisuri itu, tiap-tiap wanita di dalam kerajaan tidak akan menghormati suaminya. Mereka akan berkata, ‘Raja Ahasyweros memerintah supaya Permaisuri Wasti menghadap, tetapi permaisuri tidak mahu datang.’
18 Apabila para isteri pegawai diraja Persia dan Media mendengar tentang kelakuan permaisuri itu, tentu mereka akan segera memberitahu hal itu kepada suami mereka. Akibatnya, isteri akan melawan perintah suami dan suami akan memarahi isteri.