1 Beberapa waktu kemudian, Raja Ahasyweros melantik seorang yang bernama Haman menjadi perdana menteri. Haman ialah anak Hamedata daripada keturunan Agag.
2 Raja memerintah supaya semua pegawai yang berkhidmat kepada raja menghormati Haman dengan bersujud kepadanya. Semua orang patuh kepada perintah itu kecuali Mordekhai.
3 Para pegawai lain yang berkhidmat kepada raja bertanya kepada Mordekhai sebabnya dia melanggar perintah raja.
4 Setiap hari mereka mendesak dia supaya menurut sahaja, tetapi Mordekhai tidak mahu mengikut nasihat mereka. “Saya seorang Yahudi,” kata Mordekhai, “oleh itu saya tidak dapat bersujud kepada manusia.” Mereka melaporkan hal itu kepada Haman kerana mereka ingin tahu tindakan apa yang akan diambilnya terhadap Mordekhai.
5 Haman sangat marah apabila dia mengetahui bahawa Mordekhai tidak mahu bersujud kepadanya.
6 Apabila Haman mengetahui bahawa Mordekhai orang Yahudi, dia bertekad bukan sahaja untuk menghukum Mordekhai tetapi juga membinasakan tiap-tiap orang Yahudi di seluruh Kerajaan Persia.
7 Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahasyweros, pada bulan pertama, iaitu bulan Nisan, Haman memberikan perintah supaya orang membuang undi (yang disebut “purim”) untuk menentukan hari dan bulan yang sesuai bagi melaksanakan pakatannya yang jahat itu. Akhirnya, yang ditetapkan adalah hari ketiga belas bulan kedua belas, iaitu bulan Adar.
8 Kemudian Haman memberitahu raja, katanya, “Tuanku, ada satu bangsa yang terselerak di setiap wilayah di seluruh kerajaan tuanku. Mereka mempunyai adat istiadat yang berlainan sekali dengan adat istiadat bangsa lain. Lagipun mereka tidak patuh kepada undang-undang kerajaan. Oleh itu, sebaiknya tuanku jangan biarkan mereka berbuat sesuka hati.
9 Jika tuanku berkenan, hendaklah surat perintah dikeluarkan untuk membinasakan mereka. Jika tuanku menerima cadangan ini, hamba pasti dapat memasukkan lebih daripada 340,000 kilogram perak ke dalam perbendaharaan diraja bagi pentadbiran kerajaan.”
10 Setelah mendengar perkara itu, raja menanggal cincin daripada jarinya; cincin itulah yang dipakainya untuk memeteraikan pengisytiharan rasmi. Raja memberikan cincin itu kepada musuh besar orang Yahudi, iaitu Haman anak Hamedata, keturunan Agag.
11 Raja bertitah kepadanya, “Beta serahkan bangsa itu dan wang mereka kepadamu. Buatlah apa yang kamu pandang baik terhadap mereka.”
12 Oleh itu pada hari ketiga belas bulan satu, Haman memanggil para setiausaha raja. Haman menyuruh mereka menulis surat menurut segala yang diperintahkannya. Kemudian surat itu diterjemahkan ke dalam semua bahasa, dan disalinkan dalam semua tulisan yang digunakan di dalam kerajaan. Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimeteraikan dengan meterainya. Kemudian surat itu dikirim kepada semua penguasa, gabenor, dan pegawai.
13 Titah itu segera dihantar oleh para utusan ke tiap-tiap wilayah kerajaan. Kandungan titah itu mengatakan bahawa dalam satu hari, iaitu pada hari ketiga belas bulan Adar, semua orang Yahudi, tua dan muda, kaum wanita dan kanak-kanak, mesti dibunuh tanpa kasihan, dan harta mereka dirampas.
14 Perintah itu harus diisytiharkan di tiap-tiap wilayah supaya semua orang bersedia apabila masanya tiba kelak.
15 Para utusan cepat berangkat untuk menghantar surat-surat itu ke semua wilayah. Dengan perintah raja, titah itu diisytiharkan juga di ibu kota Susan. Raja dan Haman duduk-duduk sambil minum wain, tetapi kota Susan gempar kerana berita itu.