11 Semoga TUHAN, Allah nenek moyang kamu, melipatgandakan jumlah kamu sampai seribu kali ganda, dan menjadikan kamu makmur seperti yang dijanjikan-Nya!
12 Tetapi bagaimana mungkin aku seorang dapat memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan pertikaian kamu?
13 Pilihlah beberapa orang lelaki yang bijaksana, arif, dan berpengalaman daripada tiap-tiap suku, supaya aku melantik mereka menjadi pemimpin kamu.’
14 Kamu bersetuju bahawa hal itu baik untuk dilaksanakan.
15 Oleh itu aku melantik beberapa orang yang bijaksana dan berpengalaman, yang sudah kamu pilih daripada tiap-tiap suku supaya menjadi pemimpin kamu. Ada beberapa orang di kalangan mereka yang bertanggungjawab atas seribu orang, yang lain atas seratus orang, atas lima puluh orang, dan juga atas sepuluh orang. Aku juga melantik pegawai-pegawai lain di kalangan suku-suku kamu.
16 Pada masa itu aku menasihatkan mereka, ‘Dengarkanlah baik-baik pertikaian yang berlaku di kalangan bangsa kamu. Hakimilah tiap-tiap pertikaian dengan adil, baik yang berkaitan dengan bangsa kamu sendiri, mahupun dengan orang asing yang tinggal di kalangan kamu.
17 Jangan berat sebelah apabila kamu membuat keputusan; hakimilah tiap-tiap orang dengan menggunakan dasar yang sama, tidak kira siapa orang itu. Jangan takut akan sesiapa pun, kerana keputusan yang kamu buat itu keputusan daripada Allah. Jika ada perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku; aku akan membuat keputusan bagi perkara itu.’