1 “TUHAN, Allah kamu memerintah aku mengajarkan semua hukum ini kepada kamu. Patuhilah semuanya di tanah yang segera akan kamu duduki.
2 Seumur hidup, kamu dan keturunan kamu harus menghormati TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu, supaya kamu panjang umur di tanah itu.
3 Dengarkanlah dan patuhilah hukum-hukum itu, hai umat Israel! Dengan demikian kamu akan sejahtera dan menjadi bangsa yang kuat, serta tinggal di tanah yang kaya dan subur itu, sebagaimana yang sudah dijanjikan TUHAN, Allah nenek moyang kita.
4 Ingatlah, hai Israel! TUHAN - dan TUHAN satu-satunya - ialah Allah kita.
5 Kasihilah TUHAN, Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu.
6 Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.
7 Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.
8 Ikatkan hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan.
9 Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu pagar kamu.”
10 “TUHAN, Allah kamu telah berjanji kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub bahawa Dia akan memberi kamu tanah yang mempunyai kota-kota besar dan makmur, yang tidak kamu bina.
11 Rumah-rumah di situ penuh dengan barang-barang baik, yang tidak kamu simpan. Terdapat juga perigi-perigi yang tidak kamu gali, serta ladang anggur dan kebun zaitun, yang tidak kamu tanam. Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah itu dan kamu mempunyai segala sesuatu yang kamu ingin makan,
12 berhati-hatilah supaya kamu tidak lupa akan TUHAN yang sudah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.
13 Hormatilah TUHAN, Allah kamu dan sembahlah Dia sahaja, dan buatlah janji kamu demi nama-Nya sahaja.
14 Jangan sembah tuhan-tuhan lain, atau tuhan mana pun yang disembah oleh bangsa-bangsa yang tinggal di sekitar kamu.
15 Jika kamu menyembah tuhan-tuhan lain, kemurkaan TUHAN akan menimpa kamu. Kemurkaan-Nya itu seperti api, dan kamu akan dibinasakan sama sekali, kerana TUHAN, Allah kamu yang hadir di tengah-tengah kamu, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
16 Jangan cubai TUHAN, Allah kamu seperti yang kamu lakukan di Masa.
17 Pastikanlah agar kamu mentaati segala hukum yang sudah diberikan-Nya kepada kamu.
18 Lakukanlah apa yang baik dan adil di sisi TUHAN, maka kamu akan sejahtera. Kamu akan memiliki tanah yang subur, yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu,
19 dan kamu akan mengusir musuh seperti yang dijanjikan-Nya.
20 Pada masa yang akan datang, anak-anak kamu akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN, Allah kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu?’
21 Maka beritahulah mereka, ‘Dahulu kita hamba raja Mesir, tetapi TUHAN membebaskan kita dengan kuasa-Nya yang besar.
22 Kami sendiri melihat Dia melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang menakutkan terhadap orang Mesir, raja mereka, dan semua pegawai raja.
23 TUHAN membebaskan kita dari Mesir untuk membawa kita ke sini, dan memberi kita tanah ini seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita.
24 Kemudian TUHAN, Allah kita memerintah kita untuk mentaati semua hukum itu, dan untuk menghormati Dia. Jika kita berbuat demikian, Dia akan sentiasa menjaga bangsa kita dan menjadikannya makmur.
25 Jika kita setia mentaati segala yang diperintahkan Allah kepada kita, maka Dia akan berkenan kepada kita.’ ”