3 Apabila kamu makan perjamuan itu, jangan makan roti yang beragi. Selama tujuh hari kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang kamu lakukan dahulu semasa kamu melarikan diri dengan tergesa-gesa dari Mesir. Makanlah roti yang tidak beragi - roti yang disebut roti penderitaan - supaya seumur hidup kamu, kamu ingat akan hari kamu meninggalkan Mesir, tempat penderitaan itu.
4 Selama tujuh hari, seorang pun di tanah kamu tidak dibenarkan menyimpan ragi di dalam rumahnya; dan daging binatang yang disembelih pada malam pertama itu mesti dimakan pada malam itu juga.
5-6 Sembelihlah binatang untuk perjamuan Paska di satu tempat ibadat itu, dan bukan di mana-mana tempat lain di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Sembelihlah binatang itu pada waktu matahari terbenam, seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir dahulu.
7 Rebuslah daging itu dan makanlah di satu tempat ibadat itu, lalu pulanglah ke rumah pada keesokan paginya.
8 Selama enam hari, kamu mesti makan roti yang tidak beragi, dan pada hari ketujuh kamu harus berkumpul untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.”
9 “Kiralah tujuh minggu mulai hari pertama kamu menuai gandum.
10 Kemudian rayakanlah Perayaan Menuai untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Berikanlah persembahan sukarela kepada-Nya, menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan-Nya kepada kamu.