15 Tiap-tiap hari sebelum matahari terbenam, bayarlah upahnya untuk hari itu. Dia memerlukan upah itu dan berharap menerimanya. Jika kamu tidak memberi dia upah, dia akan mengadu kepada TUHAN tentang kamu, dan kamu akan dinyatakan berdosa.
16 Ibu bapa tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh anak mereka, dan anak juga tidak boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tiap-tiap orang hanya boleh dihukum mati kerana jenayah yang dilakukannya sendiri.
17 Jangan rampas hak orang asing dan anak yatim piatu. Jangan ambil pakaian seorang balu sebagai jaminan hutangnya.
18 Ingatlah, kamu pernah menjadi hamba di Mesir dan TUHAN, Allah kamu telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku memberikan peraturan ini kepada kamu.
19 Apabila kamu mengumpul hasil tuaian kamu, lalu terlupa membawa seberkas gandum, jangan balik untuk mengambilnya. Biarlah gandum itu ditinggalkan untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya TUHAN, Allah kamu memberkati segala usaha kamu.
20 Setelah kamu satu kali memetik buah zaitun kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu.
21 Setelah kamu satu kali memetik buah anggur kamu, jangan balik untuk memetik buah yang tertinggal. Buah-buah itu untuk orang asing, anak yatim piatu, dan balu.