21 Jangan ingini kepunyaan orang lain: isterinya, rumahnya, tanahnya, abdinya, ternakannya, keldainya, atau apa-apa pun miliknya.’
22 Itulah hukum-hukum yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu semua apabila kamu berkumpul di gunung itu. Apabila Dia berfirman dengan suara yang kuat dari api dan awan yang tebal itu, Dia memberikan hukum-hukum itu sahaja. Kemudian Dia menuliskan hukum-hukum itu pada dua buah batu tulis, lalu memberinya kepadaku.”
23 “Apabila seluruh gunung itu diliputi api, dan kamu mendengar suara dari kegelapan itu, para pemimpin suku dan penghulu masyarakat kamu datang kepadaku
24 dan berkata, ‘TUHAN, Allah kita menyatakan kebesaran dan kemuliaan-Nya ketika kami mendengar firman-Nya dari api itu. Pada hari ini kami telah melihat bahawa seseorang boleh tetap hidup walaupun Allah sudah berfirman kepadanya.
25 Tetapi mengapakah kami harus menyabung nyawa lagi? Api yang dahsyat itu akan membinasakan kami. Kami pasti mati jika kami mendengar TUHAN, Allah kita berfirman lagi.
26 Pernahkah manusia tetap hidup setelah mendengar Allah yang hidup berfirman dari api?
27 Berangkatlah, hai Musa, dan dengarlah segala yang difirmankan oleh TUHAN, Allah kita. Kemudian kembalilah dan beritahulah kami apa yang difirmankan-Nya kepadamu. Kami akan mendengar dan mentaatinya.’