15 TUHAN akan melindungi kamu daripada segala penyakit. Dia tidak akan membiarkan kamu menghidap penyakit dahsyat seperti yang kamu alami di Mesir, tetapi Dia akan menimpakan penyakit itu kepada semua musuh kamu.
16 Binasakanlah semua bangsa yang diserahkan oleh TUHAN, Allah kamu ke bawah kuasa kamu, dan jangan kasihani mereka. Jangan sembah tuhan-tuhan mereka, kerana perbuatan itu akan mendatangkan bencana.
17 Jangan berfikir bahawa bilangan bangsa-bangsa itu lebih besar daripada kamu, dan bahawa kamu tidak dapat mengusir mereka.
18 Jangan takut akan mereka. Ingatlah akan perbuatan TUHAN, Allah kamu terhadap raja Mesir dan semua rakyatnya.
19 Ingatlah akan malapetaka dahsyat yang kamu nampak dengan mata sendiri, mukjizat dan perbuatan ajaib, serta kuasa besar dan keperkasaan yang digunakan oleh TUHAN, Allah kamu untuk membebaskan kamu. Sebagaimana Dia membinasakan orang Mesir dahulu, begitu juga Dia akan membinasakan semua bangsa yang kamu takuti sekarang.
20 Dia akan menimbulkan kecemasan di kalangan mereka, dan membinasakan mereka yang melarikan diri dan pergi bersembunyi.
21 Oleh itu, jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; Dia Allah yang agung, dan yang harus ditakuti.