17 Jangan berfikir bahawa bilangan bangsa-bangsa itu lebih besar daripada kamu, dan bahawa kamu tidak dapat mengusir mereka.
18 Jangan takut akan mereka. Ingatlah akan perbuatan TUHAN, Allah kamu terhadap raja Mesir dan semua rakyatnya.
19 Ingatlah akan malapetaka dahsyat yang kamu nampak dengan mata sendiri, mukjizat dan perbuatan ajaib, serta kuasa besar dan keperkasaan yang digunakan oleh TUHAN, Allah kamu untuk membebaskan kamu. Sebagaimana Dia membinasakan orang Mesir dahulu, begitu juga Dia akan membinasakan semua bangsa yang kamu takuti sekarang.
20 Dia akan menimbulkan kecemasan di kalangan mereka, dan membinasakan mereka yang melarikan diri dan pergi bersembunyi.
21 Oleh itu, jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; Dia Allah yang agung, dan yang harus ditakuti.
22 Sedikit demi sedikit TUHAN, Allah kamu akan mengusir bangsa-bangsa itu semasa kamu bergerak maju. Kamu tidak dapat membinasakan mereka dengan sekaligus, kerana jika kamu berbuat demikian, bilangan binatang liar akan meningkat dan menjadi ancaman kepada kamu.
23 TUHAN akan menyerahkan musuh kepada kamu, dan Dia akan menyebabkan mereka cemas sehingga mereka dibinasakan.