1 Timotius 1 BM

1 Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita.

2 Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri.Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan.

Amaran tentang Ajaran yang Sesat

3 Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya.

4 Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya.

5 Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan.

6 Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia.

7 Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan.

8 Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul.

9 Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh,

10 orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar.

11 Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji.

Bersyukur kerana Rahmat Allah

12 Aku bersyukur kepada Kristus Yesus Tuhan kita, yang sudah memberi aku kekuatan untuk menjalankan pekerjaanku. Aku berterima kasih kepada-Nya, kerana Dia menganggap aku layak, dan telah melantik aku untuk melakukan tugas itu,

13 meskipun dahulu aku mengkufuri, menganiaya dan menghina Dia. Tetapi Allah mengasihani aku, kerana pada waktu itu aku tidak percaya kepada Kristus, sehingga aku tidak tahu apa yang aku lakukan.

14 Tetapi Tuhan kita melimpahkan rahmat-Nya kepadaku. Dia membolehkan aku percaya kepada-Nya dan mengasihi orang lain, kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus.

15 Pernyataan ini sungguh benar dan harus diterima serta dipercayai sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat,

16 tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal.

17 Hendaklah Allah, Raja yang kekal, yang hidup selama-lamanya, yang tidak kelihatan, dan yang esa, dihormati serta dimuliakan selama-lamanya! Amin.

18 Timotius, anakku, arahan ini aku berikan kepadamu, sesuai dengan nubuat tentang dirimu yang disampaikan dahulu. Gunakanlah kata-kata nubuat itu sebagai senjatamu dalam perjuangan yang baik itu.

19 Hendaklah imanmu menjadi pegangan hidup dan hendaklah engkau mempunyai hati nurani yang suci. Ada orang yang tidak mempedulikan hati nurani, sehingga iman mereka hancur.

20 Himeneus dan Aleksander tergolong kepada orang yang sedemikian. Aku telah menghukum kedua-duanya dengan menyerahkan mereka kepada kuasa Iblis, untuk mengajar mereka berhenti mengkufuri Allah.

Bab

1 2 3 4 5 6