1 Yohanes 1 BM

Firman yang Memberikan Hidup

1 Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan.

2 Ketika hidup sejati dan kekal itu dinyatakan, kami melihatnya. Itulah sebabnya kami memberikan kesaksian tentangnya. Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami.

3 Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus.

4 Kami menulis hal ini supaya kita benar-benar gembira.

Allah itu Cahaya

5 Inilah berita yang telah kami dengar daripada Anak-Nya dan yang kami isytiharkan kepada kamu: Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali.

6 Jika kita berkata bahawa kita hidup bersatu dengan Dia, padahal kita hidup dalam kegelapan, maka kita berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan.

7 Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa.

8 Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati.

9 Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah.

10 Tetapi jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firman-Nya tidak kita simpan di dalam hati.

Bab

1 2 3 4 5