16 Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia.
17 Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya.
18 Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat.
19 Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita.
20 Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar.
21 Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengenal ajaran yang benar; tetapi justeru kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa tidak ada dusta dalam ajaran yang benar itu.
22 Sesiapa berkata bahawa Yesus bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu pendusta. Orang seperti itu Musuh Kristus; orang itu tidak mengakui Bapa mahupun Anak.