23 Sesiapa yang tidak mengakui Anak, juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menyambut Anak, menyambut Bapa juga.
24 Oleh itu, perkhabaran yang kamu dengar sejak kamu mula-mula percaya kepada Kristus harus kamu simpan di dalam hati. Jika kamu berpegang kepada perkhabaran itu, kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak dan dengan Bapa.
25 Inilah yang dijanjikan oleh Kristus sendiri kepada kita: hidup sejati dan kekal.
26 Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu.
27 Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu. Oleh itu, taatlah kepada ajaran Roh-Nya, dan tetaplah hidup bersatu dengan Kristus.
28 Oleh itu, anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu.
29 Kamu tahu bahawa Kristus melakukan kehendak Allah. Oleh itu kamu harus tahu bahawa setiap orang yang melakukan kehendak Allah ialah anak Allah.