7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar.
8 Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar.
9 Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini.
10 Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa.
11 Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia.
12 Anak-anakku, aku menulis kepada kamu, kerana dosa kamu sudah diampunkan demi Kristus.
13 Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu sudah mengalahkan Iblis.