14 Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian.
15 Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal.
16 Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita!
17 Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah?
18 Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan.
19 Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah.
20 Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya.