13 Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada Anak Allah, supaya kamu tahu bahawa kamu sudah mempunyai hidup sejati dan kekal.
14 Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya.
15 Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya.
16 Jika kamu melihat seorang saudara seiman melakukan dosa yang tidak mengakibatkan orang itu kehilangan hidup sejati dan kekal, hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya memberi dia hidup itu. Hal ini berkenaan dengan orang yang dosa mereka tidak mengakibatkan mereka kehilangan hidup itu. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup itu. Aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah tentang hal itu.
17 Semua perbuatan salah itu dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan orang kehilangan hidup sejati dan kekal.
18 Kita tahu bahawa tidak seorang pun daripada anak-anak Allah terus-menerus berbuat dosa, kerana Anak Allah melindunginya dan Iblis tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya.
19 Kita tahu bahawa kita milik Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis.