2 Korintus 12 BM

Penglihatan dan Wahyu daripada Tuhan

1 Aku harus berbangga meskipun hal itu tidak berfaedah. Tetapi sekarang aku mahu bercakap tentang penglihatan dan wahyu yang aku terima daripada Tuhan.

2 Aku kenal akan seorang Kristian yang empat belas tahun yang lalu diangkat ke syurga yang tertinggi. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.)

3 Aku berkata sekali lagi, aku tahu bahawa orang itu diangkat ke Firdaus. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan - Allah sahaja yang tahu.)

4 Di situ dia mendengar perkara-perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diungkapkan.

5 Aku hendak membanggakan orang itu, bukan diriku sendiri. Aku akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku sahaja.

6 Jika aku hendak berbangga, aku tidak melakukan sesuatu yang bodoh, kerana aku mengatakan yang benar. Aku tidak mahu orang memandang tinggi terhadap aku kerana penglihatan itu, tetapi hanya kerana melihat perbuatanku dan mendengar kata-kataku.

7 Tetapi supaya aku tidak terlalu sombong kerana penglihatan-penglihatan yang luar biasa itu, aku diberikan sejenis penyakit yang sangat menyakitkan. Penyakit itu alat Iblis untuk memukul aku supaya aku tidak terlalu sombong.

8 Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu.

9 Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.

10 Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus.

Kekhuatiran Paulus tentang Orang Korintus

11 Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang istimewa itu!

12 Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul.

13 Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu!

14 Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak.

15 Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu. Patutkah kamu kurang mengasihi aku, kerana aku sangat mengasihi kamu?

16 Tentu kamu bersetuju bahawa aku tidak pernah membebani kamu. Namun ada yang berkata bahawa aku ini licik dan memperdaya kamu dengan tipu muslihat.

17 Mana mungkin? Pernahkah aku mencari keuntungan daripada kamu melalui utusan-utusan yang aku kirim kepada kamu?

18 Aku mengutus Titus kepada kamu dan aku menyuruh saudara Kristian yang lain menyertai dia. Adakah Titus mengambil keuntungan daripada kamu? Tidakkah dia dan aku bekerja dengan maksud yang sama, dan bertindak dengan cara yang sama?

19 Janganlah kamu menyangka bahawa selama ini kami cuba membela diri. Allah tahu bahawa semua yang kami katakan menurut kehendak Kristus, dan segala yang kami lakukan itu semata-mata untuk membina kehidupan kamu.

20 Aku khuatir apabila aku melawat kamu kelak, aku akan mendapati kamu berlainan daripada apa yang aku harapkan. Kamu pun akan mendapati aku berlainan daripada apa yang kamu harapkan. Aku khuatir aku akan mendapati kamu berkelahi, iri hati, lekas marah, mementingkan diri sendiri, saling menghina dan memfitnah, sombong dan suka mengacau.

21 Aku khuatir apabila aku datang kelak, Allah akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku akan menangis kerana banyak antara kamu yang berdosa dahulu, tidak bertaubat daripada perbuatan yang cabul, lucah, dan tidak senonoh.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13