12 Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul.
13 Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu!
14 Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak.
15 Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu. Patutkah kamu kurang mengasihi aku, kerana aku sangat mengasihi kamu?
16 Tentu kamu bersetuju bahawa aku tidak pernah membebani kamu. Namun ada yang berkata bahawa aku ini licik dan memperdaya kamu dengan tipu muslihat.
17 Mana mungkin? Pernahkah aku mencari keuntungan daripada kamu melalui utusan-utusan yang aku kirim kepada kamu?
18 Aku mengutus Titus kepada kamu dan aku menyuruh saudara Kristian yang lain menyertai dia. Adakah Titus mengambil keuntungan daripada kamu? Tidakkah dia dan aku bekerja dengan maksud yang sama, dan bertindak dengan cara yang sama?