8 Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu.
9 Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.” Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku.
10 Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus.
11 Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada “rasul-rasul” kamu yang istimewa itu!
12 Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul.
13 Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu!
14 Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak.