2 Korintus 7:5-11 BM

5 Apabila kami tiba di Makedonia, kami tidak sempat melepaskan lelah. Di mana-mana sahaja kami menemui kesukaran: pertengkaran dengan orang lain, dan kecemasan dalam hati.

6 Tetapi syukurlah, kerana Allah yang sentiasa menggalakkan orang yang lemah semangat, telah membesarkan hati kami dengan kedatangan Titus.

7 Kami terhibur bukan sahaja kerana kedatangannya, tetapi juga kerana laporannya bahawa kamu telah menggalakkan dia. Titus memberitahu kami bahawa kamu ingin berjumpa dengan aku, bahawa kamu menyesali perbuatan kamu dan bahawa sekarang kamu bersedia membela aku. Hal itu menjadikan aku lebih bersukacita lagi.

8 Meskipun suratku telah menyedihkan hati kamu, aku tidak menyesal menulisnya. Memang aku agak menyesal ketika kamu bersedih hati kerana suratku itu, meskipun kesedihan itu hanya untuk sementara.

9 Tetapi sekarang aku bersukacita - bukan kerana aku telah menyedihkan hati kamu, tetapi kerana kesedihan itu sudah mengubah kelakuan kamu. Kesedihan itu sejalan dengan kehendak Allah. Oleh itu kami tidak merugikan kamu,

10 kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan. Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian.

11 Lihatlah hasil daripada kesedihan kamu yang sejalan dengan kehendak Allah: Kamu betul-betul berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Kamu marah kepada apa yang sudah berlaku dan kamu takut akan apa yang mungkin berlaku. Kamu rindu akan aku, kamu sangat ingin membela aku, dan rela menghukum yang bersalah. Dalam semua hal itu kamu sudah menunjukkan bahawa kamu tidak bersalah.