2 Korintus 7:8-14 BM

8 Meskipun suratku telah menyedihkan hati kamu, aku tidak menyesal menulisnya. Memang aku agak menyesal ketika kamu bersedih hati kerana suratku itu, meskipun kesedihan itu hanya untuk sementara.

9 Tetapi sekarang aku bersukacita - bukan kerana aku telah menyedihkan hati kamu, tetapi kerana kesedihan itu sudah mengubah kelakuan kamu. Kesedihan itu sejalan dengan kehendak Allah. Oleh itu kami tidak merugikan kamu,

10 kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan. Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian.

11 Lihatlah hasil daripada kesedihan kamu yang sejalan dengan kehendak Allah: Kamu betul-betul berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Kamu marah kepada apa yang sudah berlaku dan kamu takut akan apa yang mungkin berlaku. Kamu rindu akan aku, kamu sangat ingin membela aku, dan rela menghukum yang bersalah. Dalam semua hal itu kamu sudah menunjukkan bahawa kamu tidak bersalah.

12 Oleh itu, meskipun aku menulis surat itu, aku menulisnya bukan kerana orang yang bersalah itu, ataupun orang yang menderita kerana kesalahan itu. Aku menulis surat itu supaya di sisi Allah kamu menyedari betapa besarnya perhatian kamu terhadap kami.

13 Itulah sebabnya kami digalakkan.Selain daripada digalakkan, kami juga digembirakan oleh kegembiraan Titus. Dia memberitahu kami bahawa kamu telah menggembirakan hatinya.

14 Dahulu aku membangga-banggakan kamu kepadanya. Syukurlah, kamu tidak mengecewakan aku. Apa yang kami katakan kepada kamu sentiasa benar. Demikian juga apa yang kami bangga-banggakan kepada Titus tentang kamu pun benar.