2 Korintus 9:2-8 BM

2 Aku tahu bahawa kamu suka menolong, dan aku sudah membanggakan kamu kepada orang di Makedonia. Aku berkata kepada mereka, “Saudara seiman di Akhaya telah bersedia menolong sejak tahun lalu.” Semangat kamu sudah mengobarkan semangat kebanyakan daripada mereka.

3 Sekarang aku mengutus Titus dan dua orang saudara seiman itu, supaya apa yang telah kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap angin belaka. Oleh itu, hendaklah kamu siap menolong, kerana aku sudah berkata bahawa kamu bersedia menolong.

4 Apabila aku datang bersama-sama beberapa orang Kristian dari Makedonia, aku tidak ingin mereka mendapati kamu belum menyediakan wang derma itu. Jika hal itu berlaku, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu.

5 Oleh itu, aku fikir perlu juga menggesa saudara-saudara itu supaya pergi kepada kamu lebih dahulu daripada aku untuk mengurus derma yang kamu janjikan itu. Dengan demikian derma itu telah tersedia apabila aku tiba. Hal itu menunjukkan bahawa derma itu kamu berikan dengan rela hati dan bukan kerana terpaksa.

6 Ingatlah! Orang yang menanam sedikit benih, akan mendapat tuaian yang sedikit. Tetapi orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak juga.

7 Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.

8 Allah berkuasa memberkati kamu dengan berlimpah-limpah, sehingga kamu mempunyai apa yang kamu perlukan. Bahkan kamu akan mempunyai lebih daripada cukup untuk mengamalkan perbuatan baik.