1 Surat ini daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Yesus Kristus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang percaya kepada Kristus seperti kami juga. Yesus Kristus, iaitu Allah dan Penyelamat kita memungkinkan kita percaya kepada-Nya, kerana Dia melakukan yang adil.
2 Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan yang berlimpah-limpah, kerana kamu mengenal Allah dan Yesus, Tuhan kita.
3 Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih. Dia melakukan hal ini melalui apa yang kita ketahui tentang Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri.
4 Dengan cara ini Dia telah mengurniai kita berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya. Dengan berkat-berkat itu kamu terlepas daripada keinginan jahat yang membinasakan, yang terdapat di dunia ini, dan kamu menerima sifat Allah sendiri.
5 Oleh itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu tetap percaya kepada Kristus, mengamalkan hidup yang baik, dan juga mengetahui kehendak Allah.
6 Di samping itu kamu harus dapat mengawal diri, bertabah hati ketika menghadapi segala sesuatu, dan kamu juga mesti hidup salih.
7 Hendaklah kamu menyayangi saudara seiman dan mengasihi semua orang.
8 Semua itu sifat yang kamu perlukan, dan jika kamu memilikinya dengan berlimpah-limpah, hidup kamu akan bermakna dan berguna serta lebih mengenal Yesus Kristus Tuhan kita dengan baik.
9 Tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat baik itu, pandangannya picik. Dia tidak dapat melihat dan dia lupa bahawa dosa-dosanya yang lampau sudah dihapuskan.
10 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi supaya panggilan Allah dan pilihan-Nya atas diri kamu itu menjadi suatu pengalaman yang kekal. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan membuang iman.
11 Dengan cara ini, kamu akan diberikan hak sepenuhnya untuk menikmati Pemerintahan kekal daripada Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus.
12 Oleh itu, aku akan sentiasa mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, meskipun kamu sudah mengetahuinya dan sungguh-sungguh percaya kepada ajaran Allah yang sudah kamu terima itu.
13 Selama aku masih hidup, aku wajib mengingatkan kamu tentang perkara-perkara itu.
14 Aku tahu bahawa tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, kerana Tuhan kita Yesus Kristus telah memberitahu aku dengan jelas.
15 Oleh itu aku akan berusaha sebaik-baiknya supaya setelah aku meninggal pun, kamu sentiasa ingat akan perkara-perkara ini.
16 Semasa kami memberitahu kamu tentang Tuhan kita Yesus Kristus yang akan datang dengan penuh kuasa, kami tidak bergantung kepada dongeng yang direka-reka manusia. Dengan mata kepala sendiri kami melihat kemuliaan Kristus.
17 Kami di sana ketika Dia dihormati dan dimuliakan oleh Allah Bapa. Pada waktu itu terdengar suara daripada Yang Maha Mulia berfirman kepada-Nya, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku!”
18 Kami sendiri mendengar suara itu datang dari syurga ketika kami bersama-sama Dia di atas gunung yang suci itu.
19 Oleh itu kami lebih yakin lagi akan perkhabaran yang diisytiharkan oleh nabi-nabi. Sebaiknya kamu perhatikan perkhabaran itu, kerana perkhabaran itu seperti pelita yang bersinar di tempat gelap sehingga fajar menyingsing, dan cahaya bintang fajar bersinar di dalam hati kamu.
20 Tetapi hal terutama inilah yang harus kamu ingat: Tidak seorang pun dapat mentafsirkan nubuat di dalam Alkitab menurut pendapat sendiri.
21 Hal itu demikian kerana tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Allah.