9 Demikianlah Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan,
10 terutamanya mereka yang menuruti keinginan hawa nafsu yang kotor, dan mereka yang menghina kekuasaan Allah.Guru-guru palsu ini tidak tahu malu dan sombong. Mereka tidak menghormati makhluk-makhluk mulia di syurga; sebaliknya mereka menghina semua makhluk itu.
11 Sedangkan malaikat-malaikat yang jauh lebih kuat dan berkuasa daripada guru-guru palsu itu, tidak menuduh makhluk-makhluk itu di hadirat Tuhan dengan kata-kata hinaan.
12 Tetapi guru-guru palsu itu seperti binatang buas yang lahir untuk ditangkap dan dibunuh; mereka bertindak menurut naluri sahaja. Dengan kata-kata hinaan mereka menyerang perkara-perkara yang tidak difahami. Mereka akan dibinasakan seperti binatang buas.
13 Mereka akan menderita kesengsaraan, kerana menyebabkan orang lain menderita kesengsaraan. Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu.
14 Mereka suka memandang wanita dengan perasaan berahi, dan nafsu mereka untuk berdosa tidak dapat dipuaskan. Orang yang lemah iman diperangkap oleh mereka. Hati mereka dikuasai ketamakan. Mereka dikutuk Allah!
15 Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat. Mereka mengambil jalan yang diikuti oleh Bileam anak Beor dahulu. Bileam ingin sekali mendapat wang daripada perbuatannya yang jahat.