9 Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa.
10 Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap.
11 Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah,
12 sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya.
13 Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah.
15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.