1 Kristus Yesus akan datang lagi untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati. Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, di hadapan Allah dan Kristus Yesus, dengan sepenuh hati aku menggesa engkau
2 supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran.
3 Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka.
4 Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng.
5 Dalam keadaan apa pun, engkau mesti tahu mengawal diri. Tabahlah dalam penderitaan, laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya.
6 Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini.
7 Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir.
8 Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan.
9 Berusahalah untuk datang kepadaku secepat mungkin.
10 Demas sudah meninggalkan aku kerana mencintai dunia ini. Dia sudah pergi ke Tesalonika. Kreskes pun sudah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia.
11 Hanya Lukas bersama-sama aku di sini. Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku.
12 Aku sudah menyuruh Tikhikus pergi ke Efesus.
13 Apabila engkau datang, bawalah baju panas yang aku tinggalkan di Troas di rumah Karpus. Bawalah gulungan-gulungan naskhah itu juga, terutamanya gulungan naskhah yang dibuat daripada kulit.
14 Aleksander, tukang besi itu sudah melakukan perkara-perkara yang jahat terhadapku. Tuhan akan membalas dia menurut perbuatannya.
15 Engkau sendiri harus berhati-hati dengannya, kerana dia sangat menentang perkhabaran kita.
16 Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini!
17 Tetapi Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan, sehingga aku dapat mengisytiharkan seluruh Berita Baik itu supaya didengar oleh semua orang bukan Yahudi. Aku pun diselamatkan daripada hukuman mati.
18 Tuhan juga akan menyelamatkan aku daripada segala kejahatan. Dia akan membawa aku dengan selamat ke dalam Kerajaan-Nya di syurga. Hendaklah Dia dimuliakan selama-lamanya! Amin.
19 Aku mengirim salam kepada Priskila dan Akwila dan kepada keluarga Onesiforus.
20 Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus aku tinggalkan di Miletus kerana dia sakit.
21 Berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk datang sebelum musim sejuk.Ebulus, Pudes, Linus, dan Klaudia mengirim salam kepadamu; demikian juga semua saudara seiman yang lain.
22 Semoga Tuhan menyertai engkau.Semoga Allah memberkati kamu semua.