7 Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka.
8 Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir.
9 Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur.
10 Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia.
11 Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan.
12 Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, “Marilah naik ke sini!” Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan.
13 Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga.