1 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai.
2 Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.”
3 Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk.
4 Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul.
5 Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu “Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.”
6 Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus.Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu.
7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk.
8 Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula.
9 Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja.
10 Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja.
11 Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan.
12 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam.
13 Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu.
14 Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.”
15 Malaikat itu berkata pula kepadaku, “Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa.
16 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api.
17 Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku.
18 Wanita yang engkau lihat itu kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.”